Lebih 300 Nelayan Terima Bantuan

KEMAMAN, 10 Januari - Seramai lebih 300 orang nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima bantuan sempena Program Santuni Nelayan DUN Cukai 2025 yang diadakan, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata bantuan seperti itu diberikan setiap tahun kepada para nelayan, di sini.

"Kami memahami apa yang dirasai oleh para nelayan. Di musim tengkujuh, mereka tidak dapat turun mencari rezeki akibat ombak yang kuat. Keselamatan mereka perlu diutamakan.

"Oleh yang demikian, program sebegini diadakan bagi membantu mereka. Semoga dapat meringankan sedikit bebanan yang mereka sedang hadapi," katanya.

Program tersebut telah berlangsung di pekarangan Surau Haji Muda, Kampung Geliga.

Dalam majlis ini, Hanafiah telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan beras kepada setiap penerima.

Semua nelayan yang hadir turut diraikan dengan jamuan tengah hari.