Lebih 40 Peserta Berentap Dalam 'Cabaran 4x4 Kapong Kiter'

MARANG, 21 Januari - Lebih 40 peserta dijangka akan berentap dalam 'Cabaran 4x4 kapong Kiter' yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Januari ini di trek Bukit Jelulong, di sini.

Presiden Kelab 4x4 Kapong Kiter,  Amran Zakaria berkata, sehingga kini jumlah peserta yang telah mendaftar seramai 40 orang.

"Kita anggarkan jumlah itu akan bertambah kerana di hari pertandingan juga kami masih menerima peserta yang ingin mendaftar secara '‘walk-in’," ujarnya.

Katanya, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu kenderaan panjang dan pendek manakala jenis litar yang akan digunakan nanti hanyalah litar jenis 'light core'.

 "Doakan kami supaya dapat mempertandingkan litar jenis 'hard core' pada masa akan datang," ujarnya.

Tambah beliau, pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi dalam usaha pihaknya menganjurkan program berkenaan.

“Cabaran untuk anjur program ni banyak, antaranya kewangan, cuaca, lokasi dan bekalan elektrik. Tapi yang paling mencabar adalah dari segi kewangan kerana kelab kami ini masih baru," ujarnya.

Menurut Amran, program berkenaan turut medapat perhatian Exco Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

"Kita harap pertandingan sebegini dapat mewujudkan satu lagi produk pelancongan di daerah ini sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga setempat dan dalam masa yang sama menaikkan imej kampung.

"Oleh itu, kita sangat mengalu-alukan penduduk setempat hadir memeriahkan pertandingan malah hadiah cabutan bertuah yang disediakan juga sangat menarik," ujarnya.


Tag: