KUALA TERENGGANU, 18 September –Pernah tak rasa nak makan banyak-banyak sebab teringin sangat makanan tu? Tercari-cari restoran yang menghidangkan pelbagai menu dengan harga berpatutan dengan saiz hidangan yang banyak ?
Jom ke The Syrup Vs Soda yang menawarkan lebih 50 sajian yang pasti memenuhi citarasa anda dengan harga berpatutan dari menu klasik hingga pilihan moden yang menggoda.
Pengusahanya, Wan Noor Elya Wan Rezali, 38, berkata, dia menjanjikan keunikan dan keenakan hidangan Barat dan Melayu yang pasti tidak mengecewakan dan bagi penggemar masakan berkenaan mereka juga akan teruja dengan saiz hidangan ditawarkan.
Menurutnya, keistimewaan hidangan di The Syrup Vs Soda bukan saja terletak pada saiz hidangan yang besar dan gaya penyediaan yang kreatif, tetapi turut dijual pada harga berpatutan.
“Ini menyebabkan restoran ini sering menjadi tumpuan orang muda selain golongan berkeluarga kerana konsep kami adalah mementingkan kepuasan pelanggan.
“Menu ditawarkan bermula dengan harga RM15 hidangan biasa sehingga RM90.00 untuk hidangan nasi goreng Wagyu dan yang pastinya anda pulang kekenyangan,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu berkata antara menu paling diminati dan laris adalah nasi goreng kambing, nasi goreng paru bersama petai, nasi goreng tomyam, pasta itik salai, burger dan semestinya air sirap soda resipi rahsia keluarganya.
“Contohnya nasi goreng paru bersama petai adalah warisan nenek moyang saya dari Indonesia yang saya cuba bawa untuk pelanggan mencubanya… hasilnya kini menjadi antara menu ‘top seller’ di sini.
“Begitu juga dengan minuman yang ditawarkan, semuanya dihasilkan dengan teliti bagi kepuasan pelanggan.Sirap yang digunakan pula adalah kegemaran kami sekeluarga sejak turun temurun,” ujarnya yang turut dibantu suami tersayang, Mohd Shafiq Jamaludin, 34.
Graduan Pengurusan Kulinari dari International Management Institute (IMI) Switzerland dan Kolej Damansara Utama itu berkata, pemilihan menu dilakukan secara teliti dan turut mengadakan sesi perbincangan bersama pihak pengurusan bagi memastikannya mampu menarik pelanggan untuk mencubanya.
Terletak di pusat bandar raya Kuala Terengganu, The Syrup Vs Soda yang beroperasi dari pukul 4.30 petang hingga 11.30 malam kini mempunyai 30 kakitangan yang punyai kelebihan dalam bidang masing-masing.
Sebahagian chef masakan juga berpengalaman luas dalam bidang penyediaan makanan di hotel-hotel terkemuka seluruh negara serta mempunyai kelulusan dalam bidang kulinari, untuk melancarkan lagi operasi restoran.
Wan Noor Elya berkata dia kini mempunyai perancangan untuk menambahbaik restorannya dari segi menu dan membuka kedai yang lebih besar dan selesa di lokasi baharu demi kepuasan pelanggan yang datang menikmati hidangan di The Syrup Vs Soda dalam masa terdekat.