Lebih 50,000 Kunjungi Karnival Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 September- Penganjuran Karnival Pantai Terengganu 2019 yang berlangsung lima hari bermula Khamis lalu di Pantai Batu Burok ternyata menjadi platform terbaik untuk orang ramai termasuk pengunjung luar dan penduduk sekitar menghabiskan masa hujung minggu mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, melihat kepada sambutan orang ramai, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran 100,000 pengunjung.
“Kehadiran pengunjung tetap membanggakan walaupun keadaan cuaca kurang baik, kita mampu capai lebih 50,000 orang dalam masa tiga hari karnival berlangsung dan InsyaAllah berbaki dua hari lagi, dijangka mampu menarik 100,000 pengunjung.
“Malah, para usahawan yang mengambil bahagian mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka sempena karnival ini juga turut memberikan respon positif dimana pada hari pertama sahaja mereka mampu mencapai keuntungan memberangsangkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Keris Terbuka Terengganu 2019, di Pentas Utama, Datara Batu Burok, hari ini.
Pada pertandingan tersebut peserta dari Terengganu, Norzaheran telah memenangi tempat pertama bagi kategori Keris Melela Antik, tempat kedua peserta dari Melaka iaitu Hisyam Mohd dan ketiga dimenangi Ali Mahmood (Pahang).
Bagi kategori Keris Bugis Semenanjung Antik pula tempat pertama dan ketiga dimenangi Ali Mahmood (Pahang) sementara kedua (Hisyam Mohd).