BESUT, 8 September - Seramai 65,898 ribu pelajar institut pengajian tinggi (IPT)telah memohon Pakej Peranti Siswa Keluarga Malaysia khusus bagi daripada golongan B40 bagi fasa kedua dalam masa sebulan sejak ia mula dibuka pada 1 Ogos lepas.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata dari jumlah itu, sebanyak 45,341 permohonan diluluskan dan telah menerima
Peranti Siswa masing-masing.
Katanya, dalam masa yang sama, terdapat 20,557 permohonan sedang diproses untuk diluluskan.
"Di seluruh negara kita ada 1.6 juta pelajar yang mana terdapat lebih 300,000 ribu dari kalangan pelajar B40.Jadi kami minta pelajar yang layak dan belum lagi memohon supaya berbuat demikian sebelum 30 September ini.
"Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) juga perlu memainkan peranan dan menguar-uarkan kepada para pelajar yang layak supaya segera memohon Inisiatif Peranti Siswa,"ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Kompleks Akademik & Pentadbiran, Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Taman Rimba Ilmu Tanah Bris dan Agroprenuer Incubator Park bertempat di UniSZA kampus Besut (UKB), di sini hari ini.
Sementara itu, sebanyak 3,156 permohonan Peranti Siswa di Terengganu telah diluluskan yang mana 150 pelajar UniSZA menjadi kumpulan pertama menerima tablet tersebut di Terengganu pada hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi terus tablet Peranti Siswa kepada semua pelajar tanpa perlu memulangkan semula peranti itu apabila tamat pengajian.