Lebih Empat Tan Bekalan Dihantar Ke Pulau Redang Hadapi Banjir

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Lebih empat tan bekalan makanan dan keperluan asas dihantar ke Pulau Redang sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Mazura Ngah Abdul Manan, berkata, bekalan tersebut bagi menampung keperluan 2,000 penduduk di lokasi berkenaan yang sering terputus hubungan apabila berlaku banjir.

Katanya, bekalan seperti beras, minyak masak, biskut, air minera, gula, tepung, dan susu formula bayi itu mampu menampung kegunaan penduduk di pulau tersebut selama tiga bulan.

"Biasanya penghantaran bekalan makanan ke pangkalan hadapan di pulau-pulau termasuk Pulau Redang, dilakukan pada hujung Oktober tetapi MTL dijangka lebih awal kali ini jadi kita hantar hari ini.

"Begitu juga bekalan kepada penduduk di Pulau Perhentian di Besut, kita akan hantar dalam waktu terdekat ini," katanya kepada pemberita pada Program Penghantaran Barang Keperluan Semasa Bencana ke Pulau Redang di Jeti Jabatan Laut Malaysia, di sini hari ini.

Tambah Mazura, sekiranya bekalan tersebut tidak mencukupi, JKM akan membuat penambahan awal dengan bantuan agensi-agensi lain sekiranya keadaan serius.

Sementara itu, beliau berkata JKM sudah membuat persediaan sebagai langkah menghadapi bencana dengan mengenalpasti dan menyediakan sebanyak 590 PPS yang boleh memuatkan seramai 147,590 mangsa.

“Kita akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 mini depoh dan 155 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri akhir Oktober ini,”ujarnya. 

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata pihaknya akan sentiasa memantau secara berkala mengenai keperluan penduduk Pulau Redang dari semasa ke semasa  bagi memastikan kebajikan penduduk pulau  terjaga.