• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Lembu Korban Di Terengganu Dijamin Bebas Penyakit

 Dr. Mohd Termizi Ghazali 

Jabatan Veterinar Terengganu memberi jaminan bahawa kesemua bekalan lembu yang akan dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha, bebas daripada jangkitan terutamanya penyakit kuku dan mulut.

Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya telah menjalankan pemantauan rapi terhadap lembu tempatan termasuk yang diimport bagi mengelakkan wabak berkenaan merebak ke negara ini.

"Pihak kami telah menugaskan 100 kakitangan jabatan untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan yang rapi bagi mengesan sebarang penyakit pada 5,000 ekor lembu yang dikorbankan pada Aidil Adha nanti.

"Ini termasuklah 2,000 ekor lembu yang dibawa masuk dari Kelantan dan Pahang telah diperiksa untuk memastikannya bebas dari penyakit tersebut.

"Saya jamin sehingga hari raya korban nanti, kita selamat dari penyakit tersebut dengan tindakan yang kita ambil kecuali ada berlaku pemindahan ternakan di luar kawalan oleh mereka yang mencari peluang untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Bukit Kecil, hari ini.

Tambahnya, pihak jabatan juga memberikan suntikan vaksin kepada 10 ribu ekor lembu bagi mencegah penyakit tersebut merebak.

Dr Mohd Termizi berkata, ini merupakan tindakan awal pihak jabatan bagi memastikan penyakit hawar berdarah menyerang haiwan  ternakan di Terengganu pada 2017 tidak berulang yang menyebabkan 500 ekor lembu mati.


Tag: