Litar Lumba Gong Badak Siap Januari 2017
Litar lumba bertaraf antarabangsa yang masih dalam pembinaan di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka siap dan boleh digunakan bermula Januari tahun hadapan.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek yang bernilai hampir RM12.7 juta tersebut kini sedang giat dibangunkan dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Beliau berkata, walaupun dijangka akan siap pada awal 2017, namun kemungkinan pembinaan terjejas akibat bencana dan musim tengkujuh juga perlu diambil kira.
"Kita jangkakan litar ini akan siap dibina dan boleh mula digunakan bermula Januari tahun hadapan.
"Namun demikian ianya bergantung dengan keadaan cuaca. Kalau bulan November atau Disember mengalami hujan lebat serta banjir mungkin disitulah akan terjadi sedikit kelewatan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat tapak Litar Lumba Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat.
Ahmad Razif berkata, litar berkeluasan 2.4 hektar yang mengikut piawaian AAM tersebut dibina sejak Disember tahun lalu.
Tambahnya, bagi mengelakkan gangguan bunyi di kawasan persekitaran, Jabatan Kerja Raya ditugaskan untuk memasang penghadang bunyi di litar tersebut.
"Kita akan pasang penghadang bunyi di sekitar litar ini. Jika tidak mencukupi, kita akan tambah supaya ianya tidak mengganggu penduduk setempat," katanya.
Litar tersebut akan dilengkapi dengan komponen utama seperti litar cup prix sepanjang 1.35 kilometer (km) sprint test 0.95 km, drift, tempat duduk penonton serta menara tinjau.
Bagi tempat duduk penonton, ianya mampu memuatkan kapasiti seramai 1,500 orang namun dijangkakan perkarangan litar mampu menempatkan lebih 10,000 peminat sukan permotoran tersebut.