LTdL 2017: TSG Mungkin Tarik Diri



Pasukan lumba basikal profesional Terengganu Cycling Team (TSG) berkemungkinan akan menarik diri dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang dijangka bermula pada 22 Februari hingga 1 Mac ini .

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, TSG juga yang sebelum ini ditadbir urus melalui kerajaan negeri mungkin dibubarkan atau diserahkan kepada pihak lain untuk mengurusnya.

“Saya berasa seolah-olah apa yang diusahakan Terengganu dalam membangunkan sukan lumba basikal tidak dihargai pihak berkaitan, jadi buat apa kita membuang duit untuk terus menaja Pasukan TSG,”katanya.

Ahmad Razif melahirkan perasaan kecewa berikutan tindakan drastik penganjur  LTdL 2017 yang menyingkirkan Terengganu sebagai salah satu laluan kejohanan itu pada tahun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau perubahan laluan di Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Zulkifli Abu Bakar.


Katanya, hanya kerana kerajaan Terengganu tidak menjadi penaja LTdL, penganjur berkenaan mengambil keputusan menggugurkan  laluan peringkat Kuala Berang-Kuala Terengganu dan Jerteh-Grik tanpa terlebih dahulu mengadakan sebarang rundingan.


“Bagi saya, perkara itu tidak adil, penganjur sepatutnya mengenang jasa Terengganu yang melahirkan ramai jaguh bertaraf dunia dan pernah memberi sumbangan kewangan dalam beberapa edisi LTdL sebelum ini,”katanya

Tag: