LTdL 2018 : Perlumbaan LTdL Suntik Semangat Peminat Sukan Berbasikal


Nik Mohd berjaya menduduki podium tempat ketiga. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.


Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 melonjakkan semangat peminat sukan berbasikal di Terengganu khususnya anak-anak muda yang melihat acara itu memberi impak positif kepada pembangunan masa depan belia.

Ramai peminat sukan berkenaan hadir memberi sokongan di garisan penamat peringkat ketiga LTdL melibatkan jarak 166km dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, kira- kira jam 3 petang, hari ini.

Dalam acara itu, pelumba kelahiran Pasir Putih, Kelantan Nik Mohd Azwan berjaya menduduki podium ketiga.

Nik Mohd merupakan anggota polis Diraja Malaysia menamatkan kayuhan sejauh 166 kilometer dengan catatan masa 3 jam 58 minit 31 saat.

Dengan kemenangan itu, beliau berjaya meraih jersi putih iaitu pelumba terbaik Asia selepas merekodkan masa keseluruhan 12:45:45 saat.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa  Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat.

Sejumlah 132 pelumba mewakili 22 pasukan berstatus jelajah profesional dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan memberikan saingan sengit pada edisi kali ini yang akan meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,341km, membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2018 akan bermula dari Kangar ke Kulim dengan jarak 147.9km; diikuti laluan Gerik- Kota Bharu (208.3km); Kota Bharu-Kuala Terengganu (166km); Dungun-Pekan (177.6km); Bentong-Cameron Highlands sejauh 169.4km dengan pendakian berstatus Hors di Tanah Rata; Tapah-Tanjung Malim (108.5km); Nilai-Muar (222.4km) dan tamat di Dataran Merdeka menerusi laluan Rembau-Kuala Lumpur (141.1km).

Tag: