Lucas Isa Tarik Perhatian Ramai, Kanak-Kanak Termuda Sertai Khatan Perdana

MARANG, 19 Januari – Penyertaan Lucas Isa Ahmad,4, seorang kanak-kanak kacukan Perancis-Malaysia yang menyertai Program Khatan Perdana 2025 DUN Rhu Rendang menarik perhatian ramai.

Lucas merupakan cahaya mata kepada pasangan Danial Benoit Julian seorang warga Perancis yang berkahwin dengan penduduk tempatan, Noraini Anwar merupakan peserta termuda menyertai progam berkhatan secara beramai-ramai yang diadakan di Masjid Rhu Muda, semalam.

Menurut Noraini, dia memilih untuk mendaftarkan anaknya mengikut program tersebut kerana tertarik dengan pengisiannya.

“Program khatan perdana ini adalah cadangan daripada ibu saudara saya selepas mengetahui hasrat saya untuk mengkhatankan anak saya (Lucas). 

“Di Perancis, proses khatan dilakukan seorang demi seorang di klinik, tetapi di sini suasananya sangat berbeza dan menyeronokkan. Berkhatan beramai-ramai memberikan pengalaman yang sangat berharga buat anak saya,” kata Noraini ketika ditemui pemberita pada program tersebut.

Sementara itu, suaminya Danial Benoit Julian turut melahirkan rasa kagum terhadap program tersebut.

“Saya sangat teruja dengan suasana meriah ini. Doktor yang mengkhatankan Lucas kelihatan sangat profesional dan tenang, dan keseluruhan program ini sangat tersusun. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas pengalaman yang luar biasa ini,” katanya.

Noraini turut berkongsi, suaminya pertama kali menyaksikan tradisi khatan ini, termasuk acara siraman air bomba yang menghidupkan suasana.

“Saya menerangkan kepada suami bahawa inilah cara khatan di Malaysia. Kalau dulu, budak-budak akan mandi sungai sebagai persediaan. Tradisi ini sangat berbeza daripada apa yang biasa dilihat di Perancis,” ujarnya.

Kehadiran Lucas Isa Ahmad dan keluarganya memperlihatkan bagaimana tradisi ini dapat merentas sempadan budaya dan memberi pengalaman bermakna kepada semua.
 


Tag: