Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
BESUT, 28 November - Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi meningkatkan hasil produktiviti ukiran kayu di negeri ini sekali gus memperkasakan sektor terbabit.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perbelanjaan tersebut adalah bagi keperluan mesin, alatan serta jentera pengukiran kayu.
"Sekarang ini mereka melakukan kerja pengukiran kayu ini secara manual hingga mengakibatkan proses berkenaan sangat lambat, jadi secara tidak langsung melalui penggunaan mesin kerja-kerja ini akan menjadi lebih mudah dan cepat, serta kualiti boleh ditingkatkan.
"Selain meluluskan permintaan untuk membeli mesin-mesin pengukiran bot dan perabot ini, juga ada perimnataan agar ia disenaraikan dalam tender kerajaan, kerana selama ini yang ada hanya bidang kayu yang disenaraikan sebagai kayu kayan.
"Jadi kita perlu jadikan ia sebagai subkontraktor, dan kita akan bawa ke kabinet untuk berbincang dengan Menteri Kewangan agar ia diiktiraf dan juga menjadikan pensijilannya lebih mantap selepas pengiktirafan lebih tinggi dan dihargai," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Penyerahan Mesin kepada Pengusaha Bumiputera Dalam Industri Pembuatan Bot & Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Kayu Negara di Desa Ukiran Kayu (DUK) di Kampung Raja, Besut, pada hari ini.
Mengulas lanjut mengenai industri kayu, beliau berkata sektor itu sangat berpotensi dan telah mencatatakan keuntungan di antara RM13 hingga RM14 bilion.
"Tahun hadapan kita mensasarkan RM24 bilion, kerana kita telah meningkatkan kajian dan kita juga telah meningkatkan kaedah teknologi baru dan kita juga telah mencari pasaran yang berkembang di negara Eropah.
"Serta beberapa negara yang kita telah kenal pasti, antaranya China dan Afrika Utara untuk dieksport barangan kayu, ukiran kayu ini juga berpotensi untuk ditawarkan ke luar negara," ujarnya.
Katanya, pihaknya akan turut berbincang untuk melaksanakan promosi ukiran kayu ini ke pejabat kerajaan.
"Sebagai Menteri komoditi mungkin saya boleh minta agar setiap kementerian masing-masing untuk menggunakan kayu ukiran ini, dan kumpulan atau persatuan ukiran kayu ini membekalkannya kepada kementerian.
"Jadi insya-Allah kita akan salurkan kepada persatuan pengukir untuk perbelanjaan pejabat melakukan 'renovation' jadi di sana kita boleh selaraskan perusahaan mereka, kita memiliki keanggotaan seramai lebih 800 orang di seluruh negara termasuk di negeri ini yang memiliki keahlian seramai 300 orang," ujarnya.