Mahu Perkenal Pes Rempah Kepada Pelancong

Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 30 Jun - Pusat Khidmat Parlimen Marang (PKPM)  mahu menjadikan pes rempah Resipi Dapur Mok Bonda menjadi  projek perintis di daerah ini bagi menarik pelancong tempatan dan luar Terengganu merasai keenakan resipi itu.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, apa yang dilaksanakan itu adalah  langkah pertama sebelum memilih beberapa produk lain milik usahawan  Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) di daerah ini.  

“Pendekatan itu bukan sahaja dapat membantu usahawan malah mampu menambah peluang pekerjaan kepada golongan belia sekiranya satu-satu produk yang diperkenalkan mendapat sambutan,” katanya.

Sementara itu, menurut pemilik produk itu, Mariah Johari berkata, dia berasa bertuah kerana ada pihak yang sudi menjadikan produk miliknya sebagai projek perintis.

Katanya, dengan pendekatan itu menguatkan lagi azamnya untuk terus berjaya dan mengukuhkan perniagaannya walaupun baru 2 bulan bertapak.

“Selain pes nasi dagang keluarannya. Dia turut menyediakan pes gulai ikan, ayam dan daging. Pembeli akan dapat memasak dengan mudah dan cepat dengan kemudahan yang disediakan,” ujarnya

Kata Mariah lagi, dia menulis cara penyediaannya rempah tersebut dengan lengkap supaya pembeli dapat memasaknya dengan baik.

“Penjual lain jarang untuk menulisnya, tapi saya tulis siap-siap di setiap bungkusan langkah demi langkah.

“Ramai pelanggan yang memberi respon positif terhadap rempah yang telah terjual.

"Saya banyak mempromosikan produk saya ini di media sosial seperti aplikasi Whatsapps, Facebook dan Instagram, mungkin selepas ini saya akan pasarkan di pasar raya,” tambahnya.