Berita :
MAIDAM Kutip Zakat Cecah RM301 Juta
MAIDAM Kutip Zakat Cecah RM301 Juta
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
85

KUALA TERENGGANU, 13 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melakar sejarah tersendiri apabila kutipan zakat bagi tahun 2025 buat pertama kali melepasi angka RM300 juta.

Yang Dipertuanya, Dato' Nara Setia  berkata, jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM301 juta itu merekodkan peningkatan hampir sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya hasil sumbangan 62,106 pembayar zakat di negeri ini.

Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen tinggi masyarakat Islam di Terengganu dalam menunaikan tanggungjawab berzakat.

“Setiap ringgit yang diamanahkan bukan sekadar angka dalam laporan, sebaliknya merupakan amanah yang membawa harapan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat Tahun 2026 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Datuk Dr. Ahmad Azrin Adnan.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak 56 syarikat diraikan atas sumbangan zakat perniagaan bagi tempoh Oktober 2025 hingga Mac 2026 dengan nilai keseluruhan RM12,112,711.35.

Daripada jumlah itu, sebanyak 43 syarikat menyumbang zakat bernilai RM100,000 ke atas manakala selebihnya melibatkan syarikat yang menunaikan zakat antara RM50,000 hingga RM70,000.

Pada majlis sama, MAIDAM turut meraikan pembayar zakat bertuah menerusi Kempen Zakat Akhir Tahun 2025 yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk tiket umrah, motosikal, iPad dan mesin pengering pakaian melalui kempen ‘Jom Potong dan Menang’ serta ‘Zakat Rush’.

Sementara itu, Dato' Nara Setia berkata, MAIDAM memperuntukkan sebanyak RM15.785 juta melalui Skim Bantuan Zakat Sempena Ramadan Asnaf Fakir Miskin Tahun 2026/1447H.

Menurutnya, bantuan berkenaan akan memberi manfaat kepada 29,402 penerima di seluruh Terengganu dengan kadar bantuan antara RM300 hingga RM700 mengikut bilangan isi rumah.

“Menariknya tahun ini, kaedah agihan diperkemaskan melalui sistem tuntutan di kedai terpilih yang membolehkan penerima menuntut barangan keperluan, pakaian selain membuat bayaran utiliti serta tambah nilai sama ada secara fizikal atau dalam talian,” katanya.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan agihan zakat setakat ini telah melebihi RM324 juta, meningkat sebanyak 1.8 peratus berbanding tahun lalu.

“MAIDAM merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kepercayaan yang diberikan dan akan terus memastikan setiap sen zakat disalurkan secara telus, amanah serta berkesan,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan