'Main-main Juga, Solat Tetap Keutamaan'
MARANG, 23 Februari - Program Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang dianjurkan kerajaan negeri sepanjang bulan Rejab setiap tahun semenjak 2019 tertumpu kepada setiap genap masyarakat termasuklah anak-anak muda yang sinonim dengan aktiviti bersukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata, anak muda digesa menyahut Kempen Jom Solat Berjemaah sempena Bulan Penghayatan Ibadah Solat.
"Kita berada pada bulan Rejab. Sambil-sambil kita bermain dan tengok bola, kita juga mesti ingat bahawa bulan Rejab ini bulan peristiwa Israk Mikraj, bulan mengingati ibadah solat. Jangan lupa hubungan kita dengan Allah, utamakan solat dalam setiap urusan yang kita lakukan.
"Saya harap insya-Allah anak muda berada di hadapan saya, para penonton dan para pemain agar dapat juga meluangkan masa bersama untuk kita singgah dan beriktikaf di masjid dan surau," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala YB ADUN Bukit Payung, dekat sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pelaksanaan BPIS ini tertumpu kepada Kempen Solat Secara Berjemaah di masjid atau surau disamping seruan menghayati solat sebagai benteng daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Beliau menyeru agar anak muda bijak mengimbangkan tuntutan agama dan diri dengan utamakan mencari ilmu di masjid atau surau sebagai bekalan kita untuk bertemu dengan Allah SWT.