KUALA TERENGGANU, 3 Mei – Majlis Daerah Marang (MDM) mencipta nama di peringkat antarabangsa setelah meraih Anugerah Emas Di Geneva, Switzerland baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan tahniah kepada MDM yang diketuai oleh Pengarahnya Zuwislan Awang atas anugerah tersebut.
Katanya, Inovasi Adjustable Loader yang dibawakan oleh MDM telah membanggakan Negeri Terengganu apabila menggapai Anugerah Emas dan 3 Anugerah Khas dalam pertandingan 48th International Exhibition of Invention of Geneva di Switzerland.
“Pertama kali penyertaan terus menempa nama di peringkat antarabangsa.
“Pastinya ia adalah hasil usaha keras ahli pasukan yang berani mencuba dan tidak kenal erti putus asa,” katanya dalam kenyataan facebook miliknya semalam.
Tambah Dr Samsuri, sebanyak 1,002 penyertaan yang melibatkan 46 negara pada pertandingan tersebut.
"Pertandingan yang berlangsung lima hari dan berakhir pada 30 April 2023 di Geneva, Switzerland," ujarnya.
Untuk rekod, MDM menerusi kumpulan VCLEAN yang mempertaruhkan inovasi ‘Adjustable Loader’ merupakan satu-satunya Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf daerah yang berjaya mewakili negara dan juga Kerajaan Negeri Terengganu.