Malaysia Kecundang 0-14
Aksi perlawanan antara Malaysia menentang Iran petang ini. Tuan rumah tumpas 0-14 . Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail. |
Selepas tewas di tangan Afghanistan semalam, Malaysia hari ini dimalukan lagi apabila kecundang 0-14 kepada Iran dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC yang berlangsung di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Iran membuka jaringan seawal minit ketiga melalui Moslem Mesigar. Berselang tiga minit kemudian, Mohammadali Mokhtari menambah jaringan menjadikan kedudukan 0-2.
Kekasaran yang dilakukan pemain Malaysia pada minit ke-11 membolehkan Farid Boulokbashi menambah jaringan hasil daripada tendangan penalti yang berjaya disudahkan olehnya.
Sebelum berakhirnya suku pertama permainan, Iran berpeluang menambah dua lagi gol melalui Mohammadali dan Mostafa Kiani.
Tidak terhenti di situ, Iran terus mengasak dalam suku kedua. Pada minit ke-14, Seyed Ali Nazem terus menjaringkan gol tambahan buat Iran menjadikan kedudukan 0-7.
Pada minit ke-17, Iran terus membenam tuan rumah dengan menambah tiga gol lagi melalui penjaga gol mereka, Hamid Behzadpour seterusnya oleh Farid dan Mohammadali.
Walaupun telah meninggalkan Malaysia dengan 10 gol, kapten pasukan Iran, Mohammad Ahmadzadeh enggan ketinggalan dalam pesta jaringan apabila turut berjaya menjaringkan gol pada minit ke-21.
Berselang dua minit kemudian Farid terus bernafsu menambah jaringan peribadi ketiga buatnya sekaligus menjadikan kedudukan semasa 0-12.
Pada suku ketiga, walaupun terdapat beberapa percubaan oleh Malaysia namun ianya dapat dipatahkan oleh pasukan Iran.