• 06 Nov 2024 | 04 Jamadil Awal 1446

Mangsa Banjir Disarankan Kekal Di PPS Sehingga Dibenarkan Pulang

Oleh: Syahida Mohd

KUALA NERUS, 23 November- Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dinasihatkan untuk kekal di PPS walaupun air banjir dilihat sedikit menurun berbanding semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ustaz Khazan Che Mat berkata saranan itu sebagai salah satu langkah keselamatan semua pihak.

“Ada dimaklumkan beberapa tempat banjir sudah mula kering dan kita lihat dahulu keadaan tempat tersebut jika semuanya sudah kembali kepada asal, mungkin kita akan tutup PPS ini dengan kadar segera namun mangsa masih dinasihatkan untuk kekal dahulu sehingga kediaman mereka betul-betul selamat dari banjir.

"Sebahagian besar dari penghuni di PPS ini sudah terbiasa dengan keadaan ini dan ini bukan kali pertama kerana kawasan ini merupakan kawasan yang rendah dan air lambat keluar,"katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Tambah beliau, mangsa kebanyakannya adalah orang sama terkena banjir sejak tahun-tahun lalu.

Sementara itu, Khazan berkata antara sebab utama banjir kali ini selain hujan lebat, sistem perparitan yang sempit juga  menjadi puncanya.

"Masalah ini memerlukan sistem perparitan yang lebih efeksin kerana kawasan tersebut jiwa berlaku hujan lebat dalam tempoh setengah hari sudah menyebabkan  air bertakung kerana saluran yang sempit untuk menampung kapasiti air hujan yang turun," katanya lagi.

Salah seorang mangsa banjir, Aimi Atiqah, 30, dari Taman Murni Permai berkata, banjir kali ini agak berbeza berbanding tahun lalu.

"Biasanya sebelum ni walaupun rumah lain masuk air, rumah saya tak masuk air, tapi tahun ini agak besar sehingga masuk ke dalam rumah," ujarnya.

Setakat jam 5 petang, seramai 110 buah keluarga melibatkan 402 orang mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Tok Jembal yang menempatkan mangsa dari tujuh buah kampung. disekitarnya.