Menjaga Maslahat Umum Lebih Utama Berbanding Perasaan Malu Pesalah
KUALA NERUS, 10 Oktober - Setelah tertangguh beberapa waktu, penduduk di sini dapat menarik nafas lega apabila menerima rumah yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.
Kegembiraan dan rasa terharu itu dikongsikan penerima projek perumahan tersebut termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mangsa banjir.
Khairul Anuar Ali, 43 tahun, yang berstatus OKU menzahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat memiliki kediaman sendiri setelah sekian lama diidamkan.
“Saya tidak mampu lagi bekerja sejak beberapa tahun yang lalu dan kini hanya menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara bulanan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara tahunan.
"Sudah tentu saya sangat gembira apabila dapat memiliki rumah sendiri pada hari ini setelah hanya mampu menyewa (rumah) sebelum ini.
“Ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang banyak membantu saya dengan menghulurkan keperluan asas secara bulanan dan banyak memudahkan urusan saya sehingga dapat memiliki rumah sendiri,” ujarnya ketika ditemui pemberita.
Dia berkata demikian selepas diraikan dalam Majlis Penyerahan Kunci Program Residensi Rakyat (PRR) bersama 500 penerima di Bukit Nenas hari ini.
Dalam pada itu, Adnan Yunoh, seorang guru agama yang mempunyai 14 orang anak meluahkan perasaan gembira tidak terhingga apabila menerima kunci rumah itu setelah menempuh ujian banjir setiap tahun.
“Selama ini hanya menumpang di rumah keluarga, setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh, kami memang wajib berpindah ke pusat pemindahan banjir, itu sudah biasa bagi kami sekeluarga.
"Kami hanya mampu bersabar dengan dugaan tersebut, apabila dapat rezeki rumah yang Allah kurnia ini, saya rasa sangat bersyukur. Terima kasih sebanyaknya diucapkan kepada kerajaan yang bersusah payah dan mengambil tanggungjawab demi memudahkan urusan rakyat,” katanya.
Sementara itu seorang anak muda dari Tok Jiring, Mohd Zulkifli Mat Din, 29, sangat teruja kerana dapat memiliki kediaman sendiri di usia muda,
"Terima kasih kepada pihak kerajaan setelah berjaya menyediakan fasiliti kemudahan kepada rakyat Terengganu khususnya bagi penduduk kawasan Kuala Nerus," jelasnya.
Untuk rekod, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan projek PRR Bukit Nenas pada tahun 2018 yang menelan kos RM96 juta.
Projek itu bagi membangunkan 500 unit rumah pangsa lima tingkat, dan menawarkan lima unit khusus untuk golongan OKU.
Di samping itu turut disediakan fasiliti asas seperti surau, taska, tadika dan taman permainan.