Mangsa Ribut Terharu Pemuda 'Baju Merah' Hulur Bantuan

MARANG, 31 Oktober - Mangsa ribut yang mengalami kerosakan rumah di Kampung Undang, Bukit Payung di sini terharu menerima bantuan daripada anak-anak muda berbaju merah.

Kumpulan pemuda terbabit difahamkan adalah anggota Jabatan Amal Malaysia Marang yang datang membersihkan rumah mangsa sebaik ribut reda.

Ketuanya, Sabudin Ahmad berkata, pihaknya mendapat maklumat berlaku kejadian ribut tersebut selepas melibat video tular di whatsapp.

"Selepas itu kami terus menghubungi anggota kami yang berada di Bukit Payung, dia menceritakan keadaan semasa yang memerlukan kami turun dengan segera.

"Sebaik ribut reda, saya dan beberapa rakan yang lain turun ke lokasi terjejas, sekurang-kurangnya 10 rumah dan premis kedai mengalami kerosakkan dan banyak pokok tumbang di kawasan rumah.

"Kami membantu sekadar kemampuan, pokok yang tumbang kami potong dan alihkan ke tempat lain, begitu juga dengan atap yang jatuh," katanya kepada pemberita petang tadi.

Menurutnya, Jabatan Amal merupakan entiti yang sememangnya bersedia membantu masyarakat termasuk ketika musim tengkujuh.

"Bagi persiapan banjir, sebelum ini kami ada menyertai simulasi banjir bersama agensi kerajaan negeri dan persekutuan, ini sudah biasa bagi Jabatan Amal.

"Bantuan ini juga bagi meringankan beban mangsa yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40. 

"Insya-Allah kami akan terus memberikan bantuan, bantuan ini juga merupakan rutin setiap kali musim tengkujuh," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Kamanordin Md Jusoh, berkata pihak akan menjalankan siasatan lanjut bagi membolehkan bantuan kewangan dihulur.

Katanya, nilai kerugian belum dapat dipastikan, namun bantuan segera akan disalur bagi meringankan beban mangsa, selain untuk keselesaan penduduk terbabit memandangkan kini hujan kerap susulan peralihan ke musim Monsun Timur Laut

Petang tadi, sebanyak 25 premis, termasuk kediaman dan kedai mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang melanda kira-kira jam 2.30 petang.


Tag: