Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
Mansor (lima dari kiri) disambut Mohd Zubir dan Ibni sejurus selamat tiba di Pantai Batu Buruk, jam 2 petang hari ini. Foto oleh Zulkipli CW Putra |
Pendayung solo Ekspedisi Expresi Negaraku, Mansor Omar, 70, selamat tiba di Pantai Primula Beach Resort, Batu Buruk pada jam 2 petang hari ini.
Ekspedisi anak jati Kemaman itu sudah melepasi enam lokasi persinggahan bermula di Jeti Pengkalan Kubur, Kelantan sejak 1 Julai lalu.
Jarak keseluruhan ekpedisi yang hampir 2,000 kilometer itu dijadualkan bersambung esok ke destinasi seterusnya di Pantai Pulau Kerengga, Marang.
Mansor berkata, kayuhan bermula jam 7.45 pagi dari Pantai Rhu Tapai sejauh 33 kilometer sebelum tiba di Pantai Batu Buruk.
Katanya, jangkaan ketibaan di Pantai Batu Buruk adalah lebih awal, akan tetapi mengalami sedikit masalah apabila melawan arus (breakwater) yang menyebabkan terlewat dari sasaran hampir sejam.
“Saya tidak menghadapi ancaman-ancaman lain kerana dengan pengalaman saya yang hampir 36 tahun ini, saya mampu mengawalnya. Malah, sebelum menjalankan ekpedisi ini, saya selalu membuat latihan di hadapan rumah di Teluk Kalong,” katanya.
Turut menyambut ketibaan Mansor, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri , Dato' Mohd Zubir Embong.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu.
Mohd Zubir berkata, beliau begitu teruja kerana dapat menyambut anak jati Terengganu yang sanggup menempuhi cabaran sepanjang berdayung secara solo walaupun umurnya dikategorikan sebagai warga emas.
Katanya, Mansor kelihatan sangat sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan sepanjang ekpedisi itu dan kelebihan tersebut wajar diteladani ramai terutama anak muda di Terengganu.
“Saya sangat berbangga kerana jarang orang yang sudah berumur mempunyai jati diri dan masih aktif dalam bidang kesukanan demi mengharumkan nama negara. Apalagi negara kita akan menyambut bulan kemerdekaan tidak lama lagi.
“Saya menyeru agar generasi Y dapat menjadikan Mansor sebagai inspirasi untuk turut menyumbang sesuatu kepada negara kita,” katanya.