MARPA, ANM Pacu Perubahan Tanggapan Negatif Terhadap Nuklear
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Persepsi awam mengenai sinaran nuklear seringkali dikaitkan dengan perkara - perkara ancaman keselamatan dan permusnahan sama ada pada manusia, hidupan liar dan alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata tanggapan ini perlu ditepis dengan memberikan maklumat serta fakta-fakta yang betul kepada masyarakat awam.
"Teknologi nuklear ini mampu menyumbang kepada keselamatan sejagat, kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara.
"Malah hakikatnya, teknologi nuklear ini amat penting dalam sektor perubatan dan industri. Seterusnya, aspek keselamatan amat perlu dititikberatkan semasa pengendalian,"katanya.
Beliau berkata demikian mewakili YAB Menteri Besar Terengganu ketika berucap dalam Program Perasmian Raditation Protection Conference & Workshop 2022 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, Isnin lalu.
"Tahniah diucapkan kepada Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) dan Agensi Nuklear Malaysia atas penganjuran persidangan ini sebagai acara yang penting, landasan terbaik untuk memacu dan mempertingkat prestasi perlindungan sinaran di sesebuah organisasi.
"Pada waktu yang sama dapat meningkatkan status profesionalisme Pegawai Perlindungan Sinaran di Malaysia,"ujarnya lagi.