KUALA TERENGGANU, 21 Februari- "Perkataan masjid itu sendiri membawa maksud, masjid akan sejahtera jika ia diimarahkan," kata Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Islam Terengganu, Zulkefli Othman.
Menurut beliau, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasakan institusi masjid, salah satu caranya adalah dengan terus komited menganjurkan Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS).
"Program yang diadakan setiap tahun sejak 2019 ini bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang pelaksanaan ibadah solat secara bersendirian tetapi juga berjemaah.
"Setiap kali tibanya bulan Rejab, kempen ini akan dilaksanakan selama sebulan dengan harapan dapat memberikan impak yang baik kepada masyarakat selain meramaikan lagi jemaah di masjid-masjid," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman, semalam.
Katanya, penganjuran program Bulan Penghayatan Ibadah Solat pada pandangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) adalah suatu yang amat baik dan boleh menjadi pemangkin kepada umat Islam khususnya di Terengganu untuk mempertingkatkan amal ibadah terutamanya solat itu sendiri.
"Sambutan bulan penghayatan ibadah solat ini bukan di Terengganu sahaja bahkan pada tahun ini di peringkat kebangsaan Jakim telah memperkenalkannya di mana Menteri baru-baru ini telah melancarkan program seumpama ini untuk menghidupkan ibadah solat.
"Secara tidak langsung mengajak kepada penghayatan solat itu sendiri selain menyemarakkan roh dan semangat umat Islam untuk bulan-bulan lain.
Tambah beliau, objektif penganjuran bulan penghayatan ibadah solat juga adalah untuk sentiasa mengingatkan masyarakat tentang kefardhuan solat itu sendiri.
"Selain menambah kecintaan dan kefahaman kita sebagai umat Islam terhadap solat," ujarnya.