Masjid Haji Muhammad Dibangunkan Semula

KUALA TERENGGANU, 20 September – Kerja-kerja membina semula Masjid Haji Muhammad di Kg. Mengabang Tengah telah dimulakan sejak 22 Ogos yang lalu.

Masjid berusia lebih seratus tahun itu telah mengalami kerosakan hampir keseluruhannya pada tahun 2019 yang lalu akibat bencana. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun meninjau proses pembinaan masjid tersebut, semalam.

“Alhamdulillah, setelah beberapa proses dibuat, masjid ini telah dapat dibangunkan semula.

“Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk akan sentiasa memantau dan memberikan bantuan untuk memastikan pembinaan masjid ini selesai dan dapat digunakan kembali,” kata Ustaz Muhammad Khalil kepada pemberita. 

Tambahnya lagi, penduduk di kampung tersebut ketika ini menggunakan masjid sementara yang dibina berdekatan tapak tersebut. 

Turut hadir dalam tinjauan tersebut pihak Jawatankuasa Masjid Haji Muhammad dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.