MB Pahang Seru Rakyat Pantai Timur Bersatu Pertahan Agama, Tanah Air



KUALA NERUS, 22 Ogos - Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan menjadikan ketiga-tiga negeri itu sebagai pasak kebangkitan masyarakat untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

"Ayuh kita berikrar menjadikan negeri kita sebagai benteng umat Islam berlindung, berteduh dan bergantung harap.

"Kita telah cetuskan semangat penyatuan ummah yang sangat luar biasa semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur (HIMPUN) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, semalam.

Program berkenaan merupakan acara julung kali yang menemukan tiga menteri besar di atas satu pentas lebih-lebih lagi mewakili dua parti besar orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Wan Rosdy memaklumkan bahawa penyatuan yang digembleng hari ini dijangka akan menerima lebih banyak ujian dan cabaran pada masa akan datang.

"Tetapi, saya percaya jika kita berlapang dada, cekal dan istiqamah, ujian-ujian ini mampu dihadapi.


"Yakinlah, bahawa kerjasama ini adalah tuntutan agama untuk kita bersatu padu dan tidak berpecah-belah," katanya.

Beliau turut berharap, kerjasama itu menjadi momentum kebangkitan rakyat pantai timur.

"Sokonglah, yakin dan berikan sepenuh kepercayaan kepada UMNO dan PAS untuk menjayakan dan melaksanakan penyatuan ini," katanya.


Tag: