KUALA TERENGGANU, 3 Mac – Menteri Besar Terengganu, menyeru rakyat negeri ini agar mengambil peluang fenomena Gerhana Bulan Penuh pada malam ini dengan memperbanyakkan amal ibadah dan mengimarahkan masjid serta surau.
Menurut Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, fenomena alam yang dijangka berlaku antara jam 7.26 malam hingga 9.17 malam ini merupakan tanda kebesaran Allah SWT.
"Awal maghrib hari ini, kita bakal menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh. Fenomena ini merupakan tanda kebesaran Allah SWT dan disyariatkan untuk diisi dengan amal ibadah.
"Marilah kita bersama-sama mengambil peluang ini untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan yang boleh dilaksanakan sama ada selepas Maghrib atau selepas Isyak. Gerhana dijangka berlaku antara jam 7.26 malam hingga 9.17 malam," jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.
Katanya, Ramadan yang mulia ini wajar dimanfaatkan dengan memperbanyakkan doa, munajat dan penghayatan penuh khusyuk serta tawaduk terhadap kebesaran Ilahi.
Beliau turut mengajak umat Islam supaya mengambil kesempatan mendoakan kesejahteraan dan kemenangan buat saudara seagama di Palestin, Iran dan Syria serta di mana-mana sahaja mereka yang sedang ditimpa ujian dan kezaliman.
"Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita dan mengurniakan keamanan serta rahmat-nya kepada seluruh ummah," tambah beliau lagi.