MB Terengganu Umum Lanjut Tempoh Permohonan Tanah Terkilan

Dr. Samsuri menyerahkan borang 5A kepada wakil RTB Kampung Rahmat.
SETIU, 26 Ogos - Kerajaan negeri mengumumkan untuk melanjutkan tempoh pengesahan pemilikan tanah bagi peserta terkilan kepada 31 Disember 2019.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu merupakan langkah kerajaan untuk menyelesaikan isu tanah terkilan sekali gus memberi keadilan kepada peserta terkilan yang tidak memperolehi tanah pada 2004 lalu.

"Kita sedia maklum, permohonan tanah yang lama akan tamat pada 29 Ogos ini. Dengan itu, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh berkenaan sehingga hujung tahun ini untuk kita menyelesaikan kesemuanya.

"Berdasarkan rekod, terdapat seramai 12,946 orang peserta terkilan di seluruh negeri dan setakat ini direkodkan kita berjaya menyelesaikan permohonan 6,178 peserta," katanya.


Lebih menarik, Dr. Samsuri menjelaskan bahawa peserta tanah terkilan hanya perlu membayar premium tanah sebanyak 10 peratus dari nilai tanah pada tahun 2004 dan bukannya pada nilaian semasa.

Kerajaan negeri beri keutamaan selesaikan isu tanah terkilan - MB Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Borang 5A Peringkat Daerah Setiu di Dewan Sungai Tarom, hari ini.

Turut hadir, Tuan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin serta Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.

Dalam majlis berkenaan, seramai 503 peserta terkilan adalah dari DUN Langkap dan DUN Permaisuri melibatkan 10 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Untuk rekod, daerah Setiu memiliki peserta terkilan terbesar bagi negeri Terengganu iaitu sebanyak 27 peratus dengan jumlah 3,849 pemohon.





Tag: