MBI Terengganu Komited Terokai Potensi Gas Cecair Asli
KUALA TERENGGANU, 21 November - Mentri Besar Trengganu (Incorporated), MBI Terengganu sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG).
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, MBI Terengganu telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau dan ammonia hijau di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.
“Pihak kerajaan pada ketika ini telah selesai melaksanakan libat urus bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat yang berpotensi bagi memperhalusi cadangan pembangunan loji hydrogen hijau dan ammonia hijau pada bulan Oktober dan bulan ini.
“Hasilnya, perkara yang berkaitan dengan teknikal akan diteliti oleh agensi yang berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PLANMalaysia, Jabatan Perhutanan Negeri serta agensi-agensi lain yang berkaitan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Tambah beliau, kerjasama sepenuhnya dari agensi bagi memastikan permohonan oleh pelabur serta perincian teknikal oleh agensi harus juga diberi penelitian mengikut lunas undang- undang agar ia dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.
Dalam pada itu katanya, Terengganu sedang memperkenalkan industri CCUS yang dijangka akan menjadi sumber baharu pendapatan negara dan negeri serta menyumbang kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Selain itu, projek solar terapung di Tasik Kenyir dijangka menjana tenaga solar sehingga satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan projek permulaan dijangka akan dibina pada tahun 2025 secara berfasa.
“Dengan semua inisiatif ini di bawah portfolio pelaburan, kerajaan negeri berusaha untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil, serta mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan baharu bagi negeri,” ujarnya.