MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas

KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang untuk mewujudkan Lampu Isyarat pintar bagi mengawal kesesakan lalu lintas yang makin kerap berlaku pada akhir-akhir ini apabila Terengganu menjadi tumpuan ramai pelancong.

Datuk Bandar, Dato' Rosli Latif berkata, untuk peringkat permulaan pihaknya bercadang untuk mewujudkan enam lampu isyarat dahulu.

Ujarnya, lampu isyarat itu merupakan salah satu elemen dalam pelan tindakan menjadikan Kuala Terengganu sebagai 'Smart City'.

"Perkara ini telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah semasa melancarkan pelan tindakan 'Smart City Negeri Terengganu' dan akan dibuat mengikut keutamaan rakyat.

"Sekarang ini kita berhadapan isu trafik, jadi kita akan mulakan dengan 'smart traffic light' yang telah disiapkan dokumen ,tunggu iklan untuk pengambilan tender sahaja,"ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang medianya selepas menghadiri Masli pelancaran Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2025 dan Penyampaian Hadiah Pemenang Cabutan Taksiran, di Menara MBKT, Tingkat 6, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Rosli berkata, lampu isyarat pintar itu akan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dengan aliran trafik itu akan dikawal dari menara MBKT.

"Bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku sekarang kita tidak berniat untuk ubah laluan untuk menjadikan laluan di Jambatan Angkat satu hala.

"Kerana untuk melakukan perkara tersebut perlu juga mengambil kira parameter perniagaan supaya ia tidak akan mendatangkan kesan kepada peniaga-peniaga yang merupakan rakyat negeri Terengganu sendiri,"ujarnya.