lightning-solid
Berita :
MBKT Perkasa Bandar Pintar, Teladani Sistem Kawalan DBKL
MBKT Perkasa Bandar Pintar, Teladani Sistem Kawalan DBKL
Rohayati Ripin
7 jam yang lepas
132

KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memperkukuh pembangunan bandar pintar, mampan dan berdaya huni menerusi penerapan amalan terbaik yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, lawatan kerja ke DBKL memberi pendedahan mengenai pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta pengoperasian Kuala Lumpur Control and Command Centre (KLCCC).

Menurutnya, lawatan itu diadakan bersempena Program Penempatan (Attachment) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.

“KLCCC menjadi contoh bagaimana teknologi pintar dan data dimanfaatkan untuk memantau operasi bandar secara bersepadu.

“Pendekatan ini mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, termasuk pengurusan lalu lintas, kebersihan, keselamatan serta tindakan pantas terhadap aduan awam,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Lizan berkata, lawatan berkenaan turut membuka ruang kepada MBKT untuk menilai pendekatan yang boleh disesuaikan dengan keperluan dan keadaan Kuala Terengganu.

Katanya, perkongsian pengalaman serta pertukaran idea bersama DBKL penting bagi membantu MBKT merangka inisiatif lebih berkesan dalam menghadapi cabaran pembangunan bandar yang semakin kompleks.

“MBKT komited memperluaskan kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus dipertingkatkan.

“Kita berharap segala ilmu dan amalan terbaik yang diperoleh dapat diterjemahkan melalui dasar serta projek yang memberi manfaat secara langsung kepada warga Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi MBKT untuk menjadikan Kuala Terengganu sebuah bandar raya moden, mampan, selamat dan berkualiti tinggi.


Tag :

Artikel Berkaitan