MBKT Perkenal Permit Khas Pemuzik Jalanan

KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil inisiatif memperkenalkan permit sebanyak RM200 setahun untuk pemuzik jalanan (buskers) bagi mengawal selia persembahan mereka di tempat awam.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, ia termasuk  mengeluarkan garis panduan kepada semua seniman jalanan membabitkan masa dan lokasi persembahan.

“Terdapat kaedah dalam perkara 20 klausa enakmen hiburan negeri, kami boleh membenarkan mereka bergiat dengan permit hiburan yang dibayar kepada kita sebanyak RM200 setahun dan akan keluarkan kad seniman itu kepada penggiat-penggiat busker dalam industri.

“Dakwaan yang digembar gemburkan pihak MBKT mengenakan bayaran permit hiburan antara RM250 sehari, RM150 sehari tu adalah tidak betul dalam konteks mereka sebagai seniman jalanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan satu perjumpaan bersama Persatuan Buskers Terengganu di Menara MBKT, di sini semalam.

Tambahnya, mengadakan persembahan tanpa permit menjadi satu kesalahan yang berdepan tindakan denda dan penjara mengikut subseksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 iaitu mengadakan aktiviti tanpa permit atau lesen.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemilik premis yang mengadakan aktiviti hiburan (buskers) di premis tanpa permit atau lesen juga boleh dikenakan tindakan.

“Mana-mana  pusat perniagaan yang bercadang menganjurkan hiburan menggunakan seniman jalanan perlu mengemukakan permohonan kepada MBKT untuk permit,”tambah beliau.


 


Tag: