Media Sosial Rapatkan Silaturahim Di Aidilfitri
Oleh: Adli Mohamad
DUNGUN, 28 Mei - Penggunaan media sosial dilihat menjadi penghubung silaturahim ketika Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa ketika hari kebesaran umat Islam itu.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tidak seperti tahun sebelum-sebelumnya suasana sambutan lebaran kali ini berbeza dalam keadaan negara masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.
"Bagaimanapun kemanisan sambutan Aidilfitri tahun ini masih dapat dirasai dengan cara berbeza.
"Paling kurang dapat menghilangkan perasaan rindu di hati ibu dan ayah apabila anak-anak tidak dapat pulang beraya seperti tahun-tahun yang lalu.
"Ketika diziarahi mereka (si ayah) gembira menceritakan akan anak-anak buat 'video call' atau menelefon mengucapkan selamat hari raya dan berkongsi pengalaman beraya jauh di kota, bertapa anak-anak merindui ketupat rendang, lemang dan pelbagai kuih muih yang menjadi hidangan 'wajib' setiap kali menyambut lebaran, "ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menziarahi warga emas sempena Aidilfitri, semalam.
Katanya, hakikat kehidupan norma baru perlu diterima oleh seluruh umat Islam dengan penuh keimanan.
"Serta sama-samalah kita berdoa tanpa ada perasaan jemu dan berputus asa daripada rahmat Allah agar rantaian wabak ini dapat diputuskan," ujarnya.
Sementara itu, seorang perantau Mohd Rizal Azizi, 35, berkata sambutan hari raya pada tahun ini agak janggal apabila tidak dapat pulang berhari raya serta memberi suatu pengalaman baru kepadanya.
"Memang perasaan rindu pada anak dan isteri serta keluarga tidak dapat disembunyikan, namun menyedari akan kesan buruk yang tidak dijangka akan berlaku sekiranya saya berdegil maka lebih baik saya menetap sahaja di ibu kota.
"Sempat juga saya melakukan 'video call' pada raya pertama, memang sebak dan pilu, memandangkan ini kali pertama beraya tanpa keluarga," ujarnya merupakan anak kelahiran Bukit Besi.
Mohd Rizal turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mematuhi PKPB dengan sebaiknya agar suasana akan kembali sejahtera selepas ini.