• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Membaca Simbolik Kemajuan Bangsa Dan Budaya

KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Program Jom Baca Bersama 10 Minit merupakan satu simbolik ke arah membentuk masyarakat minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat.

Isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman berkata program Jom Baca mampu menjadi batu loncatan dan membuka mata masyarakat betapa pentingnya pembacaan dalam kehidupan seharian.

"Semua usaha yang dilakukan haruslah dilihat sebagai kesempatan terbaik untuk martabatkan ilmu di negeri ini.

"Harapan saya Terengganu akan muncul sebagai negeri maju di mana teras pembangunan negeri ini juga berpaksikan ilmu pengetahuan, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika  menyempurnakan Perasmian Program Jom Baca Bersama 10 minit Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu bertempat di Dewan Serbaguna, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini hari ini.

Tambahnya lagi, program Jom Baca juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya bagi membentuk masyarakat berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat.