Menang Atau Kalah, Terengganu Cuti 11 September

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Kerajaan Terengganu bersetuju untuk mengisytiharkan cuti peristiwa pada 11 September 2022 sempena perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) .

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata seperti yang kita sedia maklum, Terengganu FC telah berjaya ke perlawanan akhir Piala FA yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil iaitu pada sabtu, 10 September 2022.

“Tujuan cuti peristiwa ini adalah untuk memberikan keselesaan perjalanan pulang dan balik serta memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya.

“Kerajaan negeri berharap para penyokong Terengganu FC dapat mengutamakan keselamatan diri dan tidak terlibat dengan sebarang insiden yang tidak sepatutnya serta menyusun atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan di laman facebook miliknya pada hari ini.

Tambah Dr Samsuri, beliau berharap agar penyokong Terengganu sentiasa menunjukkan akhlak dan adab yang baik ketika menyaksikan perlawanan tersebut.

“Kepada pasukan Terengganu FC, saya berharap para pemain dapat memberikan fokus yang maksima dan mempersembahkan aksi yang terbaik sekaligus merealisasikan harapan kita untuk membawa pulang Piala FA diiringi ribuan penyokong ke Terengganu,” katanya.

 


Tag: