Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
MARANG, 9 Jun - Tiada kata mampu diungkapkan oleh seorang ibu tunggal selain menzahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunaikan hajatnya untuk memilki kediamannya sendiri.
Pemberian rumah terbabit menamatkan penantian Ramlah Ma'at, 54, beserta tujuh anaknya yang selama ini menyewa dan tinggal di rumah yang kecil dan usang.
Kata Ramlah, dia turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan dan bantuan 'one-off' daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM 2,500 setahun.
"Daripada duit ini saya menyara kami sekeluarga setelah kehilangan arwah suami pada tahun 2012, saya pada awalnya mengambil upah mengurut namun tidak dapat meneruskannya kerana terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan saya mengalami sakit saraf," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Kelulut semalam.
Menurutnya, selama ini dia hanya menyimpan hasrat untuk menduduki rumah sendiri ketika membuat permohonan bagi mendapatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melalui MB yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.
"Akhirnya impian saya tertunai pada tahun ini.
"Lebih membuatkan saya sekeluarga teruja ia diserahkan sendiri oleh MB, detik ini sangat bersejarah bagi kami sekeluarga dapat memiliki rumah yang lebih baik daripada sebelum ini.
"Malah kami tidak lagi perlu menyewa sebagaimana sebelum ini, dan tidak perlu lagi berpindah banyak kali, cuma apabila terkenang arwah suami terdetik perasaan sedih, kerana memiliki rumah sendiri merupakan hajat kami bersama suatu ketika dahulu,"ujarnya.
Ramlah menerima rumah bernilai RM65,000 yang berkeluasan 600 meter kaki persegi serta mempunyai tiga bilik itu.