Mini Stadium RM5 Juta Di Telemong Bina Tahun Depan


Projek pembinaan mini stadium bernilai RM5 juta di Dataran Kuala Ping, Telemong, Hulu Terengganu bakal dimulakan awal tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kemudahan sukan untuk kegunaan penduduk negeri ini dan Hulu Terengganu khasnya itu, membabitkan sebuah padang bola dan juga dewan.


"Berdasarkan perancangan kita, pembinaannya akan bermula tahun depan dan saya amat berharap projek ini berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancang.

"Kemudahan mini stadium ini kelak, diharapkan dapat menjadi platform untuk golongan belia beriadah dan mengembangkan bakat sekali gus dapat mengelak mereka daripada terlibat dengan gejala yang tidak sihat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Memasak Bubur As-Syura Perdana Peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dataran Kuala Ping, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat.

Di majlis itu, sebanyak 100 kawah bubur asyura disediakan penduduk DUN Telemong dan agensi kerajaan di daerah Hulu Terengganu.



Program yang bermula jam 8 pagi dan berakhir enam jam kemudian itu, diadakan secara tahunan dalam usaha mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pemimpin setempat dalam DUN Telemong.



Tag: