Minyak Hitam Percuma Untuk Mangsa Banjir

KEMAMAN, 9 Disember - Penduduk di Kampung Air Putih dan Teladas yang terjejas akibat banjir baru-baru ini diberikan minyak hitam secara percuma.

Program yang dianjurkan oleh Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan diketuai oleh Alternative Riding Club (ARC) Kemaman itu merupakan salah satu operasi sukarelawan pasca banjir yang menyasarkan penduduk di kawasan sekitar. 

Ketua ARC Kemaman, Ab. Rahman Ngah berkata, bermula seawal jam 9.30 pagi, sebanyak 150 botol minyak hitam disediakan untuk program servis tukar minyak hitam motosikal terbabit.

"Sepanjang tiga jam pertama program ini berjalan, ramai orang kampung yang tidak melepaskan peluang dalam program tersebut," katanya ketika ditemui media.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang turut turun padang ke tapak program berkenaan tidak melepaskan peluang membantu para sukarelawan menukar minyak hitam motosikal. 

"Program seumpama ini amat bermanfaat terutama kepada mereka yang baru sahaja ditimpa musibah banjir.

"Diharapkan semoga adanya program ini dapat meringankan bebanan para penduduk memandangkan motosikal merupakan salah satu pengangkutan utama bagi penduduk di kedua-dua buah kampung ini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, rata-rata penduduk kampung yang ditemui mengucapkan ribuan terima kasih kepada ADUN Air Putih dan pihak urusetia kerana memberi peluang kepada penduduk di Kampung Air Putih dan Teladas menukar minyak hitam motosikal secara percuma.