Misteri Kehilangan Warga Emas Akhirnya Terjawab

Lokasi penemuan mayat  Said Samah

DUNGUN-Misteri kehilangan seorang warga emas sejak tiga hari lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya di dalam sebuah longkang di hadapan rumahnya di Felda Kerteh 5, Kemaman, petang semalam.

Mayat Said Samah , 73, ditemui pada pukul 3.50 petang dalam keadaan terbaring dalam longkang selepas kali terakhir warga emas itu dilihat keluar dari kediamannya pada pukul 7.30 petang.



Ketua Polis Daerah, Superitenden Bahrudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan penemuan tersebut.

"Mangsa dikatakan menghidap penyakit nyanyuk telah keluar dari rumahnya ketika hujan lebat sedang turun dan keluarganya menyedari kehilangannya tidak lama selepas itu.

"Sebelum ini mangsa sering dilihat merayau di sekitar kawasan terbabit dan sering dihantar pulang oleh anggota polis dan orang ramai apabila tidak mengingati jalan pulang," katanya.

Jelas Baharuddin lagi, selepas usaha pencarian oleh keluarga mangsa menemui jalan buntu, anak perempuan mangsa kemudiannya cuba mencari di sebuah longkang yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya dan menemui mayatnya terbaring di dalam longkang sedalam kira - kira 0.5 meter.

"Sejurus menerima panggilan dari keluarganya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Ketengah Jaya bergegas ke lokasi kejadian dan pemeriksaan terhadap mayatnya tidak menemui sebarang unsur - unsur jenayah.

"Mayat warga emas terbabit kemudiannya diserahkan kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian,"katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Tag: