lightning-solid
Berita :
MPK Cipta Rekod Gemilang Sepanjang 24 Tahun
MPK Cipta Rekod Gemilang Sepanjang 24 Tahun
Ezani Razali
1 hari yang lepas
140

KEMAMAN, 16 Februari – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) terus melakar kejayaan demi kejayaan sepanjang 24 tahun penubuhannya sekali gus membuktikan kesungguhan agensi itu memacu pembangunan daerah secara mampan dan berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato' Hanafiah Mat berkata, pencapaian berkenaan terhasil daripada komitmen padu Ahli-Ahli Majlis serta seluruh warga kerja MPK yang sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut beliau, kejayaan yang diraih bukan sahaja mematangkan organisasi berkenaan, malah memperkukuh keupayaannya untuk berdepan cabaran pembangunan fizikal dan sosial yang semakin kompleks di Kemaman.

“Semua kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat serta sokongan berterusan semua pihak berkepentingan dan warga Kemaman, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Ulang Tahun Pemasyhuran MPK Ke-24 di Kemaman Arena Square semalam.

Tambah Hanafiah, antara pencapaian membanggakan MPK termasuk pelaksanaan Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), penerimaan Anugerah Terengganu Smart City Innovation Award, Anugerah Bidong Flora Fest 2025 serta kejayaan mengekalkan Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015.

Katanya, MPK turut mencatat pencapaian cemerlang dalam Sistem Pengurusan Audit Nilai (SPAN) dan Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat negeri Terengganu.

Dalam pada itu, beliau berharap momentum kecemerlangan berkenaan akan terus dipertahankan dengan sokongan semua pihak agar MPK kekal sebagai pemacu pembangunan utama daerah dan mampu merealisasikan aspirasi menjadikan Kemaman sebuah daerah mampan serta progresif.


Tag :

Artikel Berkaitan