MPKK Bantu PBT Atasi Masalah Ternakan Berkeliaran


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 23 Januar i- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Mak Bah dan Batu Putih memberi kerjasama yang baik dalam membantu pihak berkuasa tempatan,  Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengatasi masalah ternakan berkeliaran pada waktu malam.

Pengerusinya, Abdul Aziz Mohamad berkata, kerjasama itu bukan sahaja membantu memudahkan pihak MPD melaksanakan tugasan tetapi juga menjaga hubungan baik dengan masyarakat kampung.

"Kami (MPKK) memahami keadaan penduduk kampung ini yang berkebun dan memelihara binatang ternakan tetapi perlu juga mengambil kira tangungjawab MPD untuk bertindak diatas setiap aduan yang diterima," ujarnya ketika dihubungi pemberita berhubung operasi menangkap haiwan merayau pada waktu malam di Alor Mak Bah dan Batu Putih oleh MPD,  semalam.

Abdul Aziz berkata, situasi melepaskan haiwan tanpa kawalan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di kampung berkenaan.

"Kebiasaannya, haiwan-haiwan ternakan ini tidur di atas jalan raya pada waktu malam.

 “Dengan laluan yang agak sempit dan suasana kampung yang agak gelap di sesetengah tempat, ianya antara faktor kepada aduan dibuat,” ujarnya.

Menurut beliau, MPD masih bertoleransi dengan pemilik haiwan ternakan ini termasuk mengutamakan jalan perdamaian terbaik.

“Pihak MPD mengambil inisiatif berjumpa dan menasihati pemilik-pemilik haiwan tersebut agar tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran bagi mengelak berdepan tindakan undang-undang,” ujarnya.

Abdul Aziz berkata, beliau berharap komuniti kampung memahami situasi sekarang yang memerlukan mereka tidak mengambil mudah isu membiarkan ternakan tanpa dikurung pada waktu malam.


Tag: