MPPK Digesa Bersedia Hadapi Musim Tengkujuh



Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 25 Ogos - Seluruh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi digesa bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh dengan memastikan semua kediaman penduduk tidak mengalami kerosakkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, proses membaik pulih kediaman rakyat mestilah dilakukan secara teliti dan bersama supaya masalah kerosakkan tidak berlaku pada musim tengkujuh nanti.

Ujarnya, proses pembaikian rumah terutamanya atap akan dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung kerana ia dapat menjimatkan kos dan memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat.

“Peruntukan khas daripada pejabat Exco akan disalurkan sebanyak RM5,000 untuk satu MPKK, melalui jumlah itu MPKK perlu bincangkan untuk berapa rumah yang boleh dibaiki.

“Insya-Allah, kita akan cuba cari duit lagi bagi mencukupkan RM200,000 di seluruh DUN Jabi dalam tahun ini,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Gotong-royong Keceriaan MPKK Kerandang di Perkarangan Surau Nurul Huda, Jabi, di sini kelmarin.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, sekitar 180 buah rumah dalam Dun Jabi akan dibaiki untuk tahun ini.

“Sebenarnya apabila masuk kampung masih terdapat banyak lagi (rumah) yang tidak dibaiki. Ini yang terjadi apabila kita berfikir secara menyeluruh, satu persatu kampung,” katanya.

Menurut beliau lagi, kecaknaan dan kecekapan MPKK terhadap sesuatu isu dalam kampung yang semakin menyerlah akan membawa impak positif terhadap pimpinan negeri.

“Semua benda yang berkait samada bencana haruslah diselesaikan secara bersama. Bila selesaikan dengan bergotong-royong, kita tidak perlu mengeluarkan inden projek dan ia boleh cepat dan jauh lebih jimat.

Inilah kita sangat berterima kasih dan berbangga di atas kesungguhan MPKK menjaga orang kampung seperti yang kita sebut bukan semua benda perlu dikira projek,” tambah beliau.





Tag: