KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) menganjurkan program Multaqa Asatizah yang menghimpunkan para ulama, pendakwah serta agamawan bagi membincangkan serta bertukar pandangan mengenai cabaran, permasalahan serta masa depan umat Islam.
Pengarah DUAT, Mohd Zulkhairi Ngah berkata, gerak kerja para asatizah yang memperjuangkan agama Islam dan berusaha untuk meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi bukan suatu kerja mudah.
“Kita menyaksikan sejarah nabi dan rasul yang menghadapi pelbagai cabaran dan ujian bersama dengan pengikut yang menyokong dan mendokong mereka.
“Menyedari perkara itulah mesti diusahakan sesuatu di Negeri Terengganu ini yang berpegang kepada slogan maju, berkat dan sejahtera.
“Tujuan kita menghimpunkan para asatizah adalah untuk membina penyelarasan, atau satu gerak kerja bagi bergerak seiringan dalam membina dan membentuk rakyat Terengganu mengikut acuan Islam untuk mencapai satu matlamat iaitu mendapat rahmat berpanjangan dari Allah S.W.T,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Multaqa Asatizah Bersama YB Exco Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi di Dewan Auditorium Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Katanya, para asatizah memainkan peranan penting dalam melaksanakan tujuan tersebut.
“Ia agar kita mampu menghasilkan rakyat Terengganu yang mencapai keimanan dan ketakwaan melalui siri-siri ilmu yang disampaikan oleh para asatizah,” ujarnya.
Terdahulu, dalam sesi dialog para asatizah bersama Muhammad Khalil itu, pelbagai isu, cadangan dan pandangan yang diutarakan dan beliau memberi jaminan akan memberikan perhatian sewajarnya demi untuk memperkasakan agama Islam di negeri ini.