KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Pelaksanaan program Munajat Rakyat Terengganu oleh Kerajaan Negeri adalah sebagai salah satu usaha meningkatkan semangat rakyat dalam mengharungi musibah pandemik COVID-19.
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan, antara dua syarat untuk Allah SWT mengampunkan dosa umat-Nya ketika menghadapi malapetaka adalah dengan mengamalkan sifat redha dan berusaha untuk bermunajat.
“Allah SWT ingin mengajar kita dengan musibah, ini kerana apabila manusia melaluinya, kita akan kembali untuk beribadat kepada-Nya.
“Antara hikmah berlakunya sesuatu kejadian yang tidak baik, pertama Nabi Muhammad SAW berkata tuhan memberikan kita susah begini, dengan sebab itu dosa kita sebesar gunung Allah ampunkan,” katanya ketika bersiaran langsung sempena Kuliah Dhuha Munajat Rakyat, pagi tadi.
Dalam bual bicara yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah itu, Ustaz Azhar turut berkata, musibah bermakna perkara atau kejadian tidak baik menimpa ke atas manusia.
“Persoalannya jika penularan virus ini musibah atau tidak, jawapannya semua yang tidak baik tidak disukai manusia dipanggil musibah, apatah lagi keadaan semasa dengan kes kematian yang meningkat,” katanya lagi.
Sementara itu, Pendakwah Selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam berkata, dalam menghadapi masalah seperti kesihatan, kewangan dan sebagainya, Islam mengajar umatnya untuk berikhtiar.
“Khususnya apabila dilanda wabak, antara ikhtiar yang boleh diambil seperti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), mengambil vaksin, pemakanan sihat dan lain-lain lagi.
“Hanya istimewa untuk orang Islam sahaja, munajat sebenarnya juga adalah bentuk yang paling utama sekali, kerana Allah SWT adalah maha berkuasa untuk mencipta dan menghapuskannya (virus), alhamdullilah Munajat rakyat yang diadakan ini juga adalah di antaranya,” jelasnya.