Muzium Negeri Lancar Kalendar Aktiviti 2021
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Kerajaan Terengganu melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah melancarkan Kalendar Aktiviti 2021 serta Pelan Stratregik 2021-2025 yang akan menjadi panduan penganjuran program pelancongan dan kebudayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya optimis aktiviti yang dirangka mampu mencapai kejayaan di masa hadapan.
"Syabas dan tahniah juga saya rakamkan kerana saya difahamkan tradisi pelancaran Kalendar Aktiviti bermula sejak tahun 2009 lagi.
"Ini membuktikan komitmen yang cemerlang diberikan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya ketika ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Kalender Aktiviti 2021 serta Pelan Stratregik 2021-2025 di Dewan Batu Bersurat kompleks Muzium Negeri Terengganu baru-baru ini.
Katanya, Muzium Negeri Terengganu saban tahun merancang dan merencanakan pelbagai program bagi menarik pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.
"Program-program yang memberi manfaat kepada masyarakat dan rakyat dapat diwujudkan selari dengan moto Muzium Negeri Terengganu iaitu “Pusat Pemuliharaan dan Rujukan Kearifan Tempatan.
"Menyelusuri sepintas lalu program-program 2021 ini, saya melihat beberapa aktiviti menarik yang memberikan manfaat dan impak yang besar kepada masyarakat serta sektor pelancongan tempatan.
"Pihak kerajaan negeri memandang ia sebagai satu usaha yang sangat baik dan sewajarnya yang perlu digembeleng secara bersepadu antara agensi dan kerajaan,” jelasnya.
Selain itu, dalam fenomena pandemik COVID-19 yang belum berakhir ini, beliau menyeru pihak muzium agar lebih peka, kreatif dan inovatif dengan menyediakan pelan-pelan alternatif bagi setiap program yang dirancang agar ia dapat dilaksanakan bersesuaian keperluan setempat.
“Saya penuh yakin dengan prasarana, teknologi serta sumber manusia yang ‘multi-tasking’ yang terdapat di Muzium Terengganu ini. Segala persediaan telah dibuat dalam merealisasikan segala perancangan ini terlaksana,” tambah beliau.