Nafi Konflik Dengan MB Terengganu - Abdul Hadi


KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menafikan wujudnya konflik membabitkan dirinya dengan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagaimana yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Abdul Hadi berkata, dakwaan itu bermotifkan politik semata-mata dan tidak benar sama sekali, bahkan hubungan kedua-duanya di samping kepimpinan negeri dan parti amat baik tanpa sebarang konflik.


"Saya yang lantik dia, bertanding di kawasan saya di Rhu Rendang, takkan mudah-mudah nak suruh berhenti begitu.

"Dia (pihak berkenaan) mungkin tidak ada modal dan perkara ini mahu dijadikan modal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Memperingati Itqan Al-Muluk Bita'dil As-Suluk (Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini petang ini.


Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Sebelum ini, dalam catatan beberapa individu di laman sosial Facebook mendakwa terdapat kumpulan yang telah bertemu Abdul Hadi bagi menukar Menteri Besar Terengganu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Mesej tular bertajuk Kerusi MB Terengganu Panas? itu mendakwa tindakan tersebut disebabkan rasa tidak puas hati kumpulan berkenaan terhadap Ahmad Samsuri yang dikatakan lebih mengutamakan orang luar dalam membuat lantikan politik bagi jawatan-jawatan berprestij.

Abdul Hadi turut menolak dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan perkara berkenaan dengan ketidakpuasan membabitkan duit royalti di samping isu Himpunan Menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


Sementara itu, Satiful Bahri tidak menolak kemungkinan penyebaran fitnah itu adalah cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengalihkan isu sekali gus mengaburi rakyat dalam soal Himpunan ICERD dan kegagalan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

"Terengganu dengan persekitaran, manifesto dan janji yang dilaksanakan walaupun baharu enam bulan tetapi telah terkehadapan dari segi politik, pengurusan dan pentadbiran berbanding negeri lain.

"Saya rasa cubaan untuk mengalihkan isu. Setakat ini dalam kalangan exco kita memang bekerja sebagai satu pasukan yang menggabungjalinkan agamawan dan profesional, jadi tidak berbangkit soal itu," katanya.

Tag: