DUNGUN, 13 Oktober -- Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, yang cedera akibat rempuhan berhampiran UiTM Dungun, di sini, dibenarkan keluar dari hospital hari ini.
Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, 20, itu dibenarkan pulang selepas lima hari dirawat di hospital itu sejak Rabu lepas.
Menurutnya, Muhammad Ammar Danish akan dihantar pulang ke kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans UiTM bersama keluarganya.
"Kita tengok dia tak trauma sangat. Cuma proses penjagaan dan kaunseling akan disediakan UiTM termasuk hospital dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diteruskan untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan dirinya down,”ujarnya.
"Sebab kejadian yang berlaku itu besar di mana tiga rakannya meninggal dunia. Insya-Allah pihak hospital akan terus beri perhatian dari sudut rawatan mental dan begitulah selebihnya," katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar itu di Hospital Dungun, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Maliaman turut merakam ucapan takziah atas kejadian menimpa semua mangsa.
“Kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu sekiranya memerlukan sebarang keperluan.
“Ketika musibah ini berlaku, kita nampak kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan rawatan terbaik dapat diberikan kepada Muhammad Ammar Danish," katanya.
Dalam kejadian pada 7.35 malam Rabu lepas, Muhammad Ammar Danish dan tiga lagi rakannya yang menaiki dua buah motosikal dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita berusia 49 tahun yang dipercayai menghidap penyakit mental.
Impak rempuhan itu menyebabkan dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan meninggal dunia di lokasi akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.