Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA NERUS, 12 Januari - Seramai 250 nelayan dan penoreh getah yang terjejas akibat monsun baru-baru ini menerima bantuan kewangan dan keperluan asas daripada kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bantuan berkenaan diharap mampu meringankan beban golongan terbabit.
"Pihak Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa cakna terhadap kebajikan rakyat negeri ini dan menjadikan perkara kebajikan sebagai fokus utama.
"Diharapkan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban yang dihadapi selepas mereka hilang mata pencarian akibat perubahan cuaca," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian bantuan berbentuk kewangan dan keperluan asas terbabit hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tepoh dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak, Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus (Pembangunan Masyarakat), Izzudin Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Noor Suhaimi Ismail.
Menurut Hishamuddin, nak syarikat Terengganu Incorporated, GPQ turut tampil membantu para nelaya dan penoreh di DUN terbabit.
"Mereka menyumbang zakat wakalah sebagai salah satu bantuan kepada penduduk setempat bagi tujuan pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat," jelasnya.
Tindakan pihak prihatin ini dipuji oleh penerima dan menyatakan mereka sentiasa dibantu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing yang menjadi tempat untuk penduduk mendapatkan bantuan jika terputus bekalan keperluan asas.