Nelayan Seberang Takir Terima Bantuan Musim Tengkujuh

KUALA NERUS, 17 Disember - Lebih 372 orang nelayan di sekitar Seberang Takir menerima bantuan kewangan dan barangan dapur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berkata, bantuan berkenaan tanda keprihatinan pentadbiran Terengganu terhadap golongan nelayan yang terkesan pendapatannya di musim tengkujuh.

“Seperti kebiasaan, dekat kita ni, Pantai Timur akan mengalami tengkujuh pada akhir tahun dan dijangka ke awal tahun hadapan.

“Memang lah, waktu ni sukar sedikit, mereka tidak dapat keluar menangkap ikan dan tiada sumber pendapatan lain dan bergantung sepenuhnya dengan sumber laut.

“Situasi sebegitu mengakibatkan ketiadaan sumber kewangan untuk menyara kos seharian,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan berkenaan.

Seorang penerima, Danial Afif Haiqal Rumizan, 17, yang mewakili ayahnya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus dan Seberang Takir serta TDM atas sumbangan tersebut.

“Sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit sebanyak perbelanjaan barangan harian sepanjang musim tengkujuh ni.

“Alhamudulillah, dengan pemberian bantuan barangan dapur, para penerima khususnya para nelayan mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian pimpinan di sini beri bantuan ini,” katanya

Sementara itu, Mohamad Mohd Noor, 65, melahirkan rasa syukur dan terharu atas bantuan tersebut.

“Terima kasih lah pilih saya menerima bantuan ini. 

“Bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya

Terdahulu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, melalui program tersebut, TDM menyumbang sebanyak RM20,000 untuk belian barangan asas seperti beras, minyak masak, makanan kering, gula, dan keperluan harian lain.

Selain itu katanya,Ahli Parlimen Kuala Nerus merangkap Pengerusi Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. Dato’ Dr. Alias Razak turut sama bekerjasama dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir menyumbangkan barang keperluan bagi meringankan beban dan sebagai langkah untuk memastikan kelangsungan kehidupan harian golongan terjejas khasnya komuniti Seberang Takir.


Tag: