• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

Nelayan Terengganu Tarik Nafas Lega, Muara Sungai Ibai Kini Dalam Proses Pemulihan

KUALA TERENGGANU, 18 September – Nelayan di sekitar Muara Sungai Ibai di sini kini boleh menarik nafas lega apabila projek pemulihan muara tersebut sedang giat dilaksanakan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata usaha ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah lama yang membelenggu kehidupan nelayan, terutamanya yang bergantung kepada laluan muara tersebut untuk keluar ke laut mencari rezeki.

“Projek ini merupakan hasil daripada aduan yang diterima daripada lebih 150 orang nelayan yang menggunakan muara Sungai Ibai setiap hari. 

“Projek tersebut juga tidak hanya memberi manfaat kepada nelayan di Batu Buruk tetapi juga nelayan dari kawasan sekitar seperti Alor Limbat dan Rengas, memandangkan sungai ini mengalir hingga ke Sungai Derhaka,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Tambah Dr Khalil, pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan-nelayan yang menghadapi kesukaran akibat kedalaman muara yang tidak memadai, terutamanya ketika air surut.

“Masalah ini menyebabkan mereka terpaksa mengangkat perahu di tempat-tempat tertentu bagi membolehkan bot mereka keluar ke laut.

“Dengan pemulihan ini, kedalaman muara akan ditingkatkan sehingga 2.2 meter semasa air paling surut, yang memadai untuk bot-bot nelayan kecil.

“Projek pemulihan ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026, dengan kemajuan kerja kini berjalan lebih awal daripada jadual asal,” ujarnya.


Tag: