Nelayan Terima Bantuan Bina Baru Rumah LKIM

MARANG, 5 Oktober –  Seorang nelayan, Yusri Musa, 48, dari Kampung Kelulut kini mampu menarik nafas lega apabila bakal mendiami rumah lebih selesa.


Rumah yang masih dalam pembinaan itu adalah inisiatif  Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang yang mahu  golongan nelayan menikmati hidup lebih selesa.

Yusri bersama keluarga  sebelum ini terpaksa tinggal di rumah yang agak daif dan serba kekurangan.

Pengurus LKIM, Zainal Abiden Mohamad berkata, Yusri adalah salah seorang daripada dua orang penerima bina baru rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang melalui LKIM.

Peruntukan untuk bina baru rumah yang berjumlah RM56,000 adalah bertujuan membantu nelayan melalui persatuan nelayan di mana pemohon di sekitar marang adalah seramai sembilan orang.

 

Tapak rumah bina baru milik Yusri

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan di bawah peruntukan ini merupakan satu nikmat yang sangat besar bagi mereka lebih-lebih lagi keluarga ini memang sangat memerlukan.

"Di pihak pusat khidmat, kami akan sentiasa mencari jalan untuk membantu mereka yang memerlukan melalui jabatan-jabatan yang menyalurkan peruntukan bina baru rumah seperti ini.

"Dalam kawasan Rhu Rendang, dua permohonan telah diluluskan, satu daripadanya adalah di Sungai Kerak di mana kita telah berusaha mengangkat permohonannya dan menyumbang bantuan untuk meratakan tanah serta meninggikan tapak tanah miliknya."

Beliau berkata ketika selesai tinjauan proses bina rumah milik Yusri bersama-sama Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.

Sedikit sumbangan keperluan asas dan kewangan turut diserahkan kepada keluarga Yusri.

 


Tag: